BAB 13 : Keadaan Darurat | 13 Mei – Sebelum & Selepas



Dalam ucapan saya menerusi televisyen dan Radio pada 16hb Mei itu, saya telah berkata:

 “Sekarang kita telah pun mengisytiharkan darurat kerana memerlukan kita bertindak dengan serta-merta; jika tidak maka keadaan ini tentulah akan menjadi bertambah buruk dan tidak akan dapat dikawal lagi dan kita akan menghadapi dengan satu keadaan darurat sebagaimana yang dihadapi oleh British dalam tahun 1948. Ancaman yang kita hadapi sekarang sangatlah genting dan berat dan kita tidak akan ada jalan lain lagi melainkan bertindak dengan segera. Cuma ada satu jalan sahaja yang boleh kita lakukan iaitu mengisytiharkan keadaan darurat dan mengambil segala langkah-langkah yang perlu bagi mencegah keadaan ini daripada bertambah buruk.”

 Pengganas Komunis telah menyusun rancangan mereka untuk mengambil kuasa daripada tangan kita. Mereka telah dapat menarik pengundi-pengundi dengan cara ancaman dan menakutkan mereka, dengan cara memujuk mereka supaya menjatuhkan Perikatan menerusi perjalanan demokrasi, tetapi kita bernasib baik kerana telah mendapat cukup kerusi untuk menubuhkan kerajaan, jika tidak saya tidak tahulah apa yang akan jadi kepada negara ini.

 Mereka telah menolak MCA kerana mereka telah mengecap MCA sebagai Parti pro Melayu dan tidak pro orang-orang Cina Malaysia. Mereka telah dapat menarik orang Cina supaya tidak mengundi MCA dan apa yang lebih pelik lagi ialah mereka telah berjaya mendapat sambutan orang ramai melalui ancaman-ancaman mereka itu. Terdahulu, mereka telah mencuba sedaya upaya untuk menghalang supaya pilihan raya tidak dapat di jalankan tetapi tidak berjaya dan kemudian mereka telah menjalankan cara-cara lain pula untuk merosakkan perjalanan pilihan raya itu. Satu peluang baik telah timbul apakala salah seorang dari mereka telah dibunuh oleh polis sebagai mempertahankan diri dan mereka telah menjadikannya seorang jaguh perjuangan dan mengarak mayat melalui jalan raya, dengan melanggar perintah Kerajaan dan melalui jalan-jalan yang tidak dibenarkan oleh Polis.

 Polis telah bersungguh-sungguh bersabar dan bertindak dengan cermat dan membenarkan perarakan itu terus berjalan. Kiranya polis hilang sabar pada ketika itu, tentulah kekacauan telah berlaku kerana orang-orang ini telah keluar berarak dengan memakai berbagai-bagai jenis senjata untuk bertempur dengan Polis. Dalam perarakan itu mereka telah menunjukkan cogan-cogan anti kerajaan, anti Malaysia, membawa bendera-bendera merah, dan dengan sombong dan megah menunjukkan gambar Mao Tze-Tung dan menyanyi memuji Mao, Ini teranglah taktik pengganas Komunis dan tidak siapa yang boleh menafikan tetapi kita tidak ambil apa-apa tindakan sehinggalah habis pilihan raya. Tetapi kemuncaknya telah sampai apakala mereka mengadakan satu perarakan menyambut kemenangan calon-calon di Kuala Lumpur dengan tidak menurut segala syarat yang telah dikenakan oleh polis. Mereka juga telah melakukan perbuatan-perbuatan yang boleh menaikkan kemarahan orang ramai dengan menggunakan kata-kata cacian dan penghinaan terhadap mereka. Ini adalah perbuatan provokasi yang membangkitkan rasa marah kepada sesiapa jua yang menyaksikannya. Oleh yang demikian nyatalah bahawa tujuan di sebalik perbuatan mereka ialah supaya timbul huru-hara dan kekacauan.

 Oleh itu saya tidak ada jalan lain lagi melainkan terpaksalah menunjukkan kepada anasir-anasir jahat itu bahawa kita ada kerajaan yang akan terus memerintah. Kita telah berada dalam keamanan beberapa lama dari semenjak kita membatalkan darurat dan peraturan-peraturannya. Sekarang mereka mulakan balik dan sebab itu mestilah kita bertindak dengan secepat-cepatnya. Jika tidak, maka tidak lah dapat kita hendak memelihara keamanan dan harmoni dalam negara ini. Oleh kerana peraturan-peraturan darurat telah dikuatkuasakan balik, maka tiap-tiap orang adalah dikehendaki taat kepada undang-undang itu kerana jika tidak orang-orang yang tidak berdosa akan binasa. Untuk mencegah daripada berlaku keadaan itu, maka kerajaan terpaksalah menghadapi anasir-anasir jahat itu dan saya telah meminta semua rakyat yang taat setia kepada negara ini supaya tidak melakukan perbuatan yang boleh menghalang tindakan-tindakan kerajaan dan lebih cepat kita dapat menamatkan darurat ini, maka lebih baiklah bagi semua orang.

 Sekarang saya sedang menubuhkan sebuah Pasukan Pertahanan yang kuat. Orang-orang baru akan diambil untuk masuk menjadi anggota-anggota Pasukan Pertahanan Tempatan atau Local Defence Corp yang akan digunakan dengan sepenuhnya dan pusat-pusat pengambilan anggota pasukan itu akan ditubuhkan seberapa segera di setiap bandar dan pegawai-pegawai tentera akan dipanggil untuk menjalankan kerja ini.

 Tanggungan kita sekarang ialah menghadapi dan mengatasi keadaan darurat itu. Kerja ini berat tetapi boleh diatasi dan dengan sokongan rakyat saya percaya kita akan berjaya. Pusat-pusat pengambilan orang-orang baru akan ditubuhkan dengan segera di Selangor, Perak dan Pulau Pinang dan dalam negeri-negeri lain akan diadakan juga dengan seberapa cepat. Rakyat tidak boleh menjalankan sendiri kuasa kekerasan dengan berbuat sesuka hati mereka kerana orang-orang yang tidak berdosa akan menjadi korban di kedua-dua belah pihak, dan kita tahu bahawa dalam negara ini orang-orang Cina yang taat setia adalah lebih kuat daripada anasir-anasir yang tidak taat setia, tetapi mereka mempunyai pertubuhan yang kuat dan orang-orang yang taat setia itu tidak bersatu. Oleh yang demikian perlulah bagi orang-orang yang hendak berkhidmat kepada negara dalam saat yang genting ini mara ke hadapan dan menawarkan diri mereka untuk berkhidmat dalam pasukan itu. Belia mestilah menyambut seruan untuk mempertahankan negara ini. Saya mengulangi lagi bahawa Malaysia berharap setiap rakyat  yang taat setia hendaklah menunaikan tanggungan mereka.

 Sekarang saya telah pun menubuhkan sebuah Majlis Gerakan Negara atau National Operations Council dan Tun Razak sebagai Pengarah Tindakan atau Director of Operations, dengan diberi tanggung jawab  yang penuh untuk menjalankan pentadbiran di bawah Pengisytiharan Darurat, dan Operations Council ini akan turut dianggotai wakil pasukan-pasukan keselamatan. Tun Razak akan bertanggungjawab terus kepada saya, yang bererti bahawa kebanyakan kerjanya akan diberi keutamaan. Majlis Gerakan (Operations Council) akan ditubuhkan dalam semua negeri dan arahan-arahan akan diberi oleh Majlis Bertindak Kebangsaan di bawah Tun Razak. Mereka yang akan menjadi ahli dalam majlis-majlis ini akan dipilih daripada mereka yang benar-benar jujur dan ikhlas dan mempunyai taat setia yang teguh kepada negara. Tujuan majlis ini ialah untuk menyelaraskan kerja pentadbiran awam, tentera dan polis dalam segala usaha kita hendak mengembalikan keamanan. Kita mesti mengembalikan rasa kepercayaan kepada negara kita dengan seberapa segera yang boleh. Jika tidak maka perniagaan akan terhalang, pentadbiran negara akan rosak dan segala usaha yang kita telah buat untuk kepentingan keamanan dan ekonomi akan menjadi sia-sia. Saya bimbang orang-orang akan tempelak kita dan menuduh bahawa kita mengambil tindakan ini kerana kita tidak mempunyai suara kelebihan yang banyak, tetapi ini tidaklah benar, kita mempunyai suara lebih yang cukup untuk menjalankan pentadbiran, tetapi keadaan yang timbul memaksa kita mengambil langkah-langkah yang kuat dan berkesan bagi menghadapi pengganas-pengganas komunis itu.

 Berjuta-juta ringgit telah rugi dalam perdagangan dan perniagaan dalam masa beberapa hari ini dan begitulah juga beberapa banyak nyawa yang terkorban. Kejadian yang telah berlaku dalam negara kita yang bahagia ini sangatlah mendukacitakan. Marilah kita sekalian bermohon kepada Allah supaya mencucuri rahmat dan mengembalikan balik keamanan kepada negara kita ini.
sebuah buku hasil karya Tunku Abdul Rahman terbitan 1969

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan bahasa yang sopan.
Please use proper language.